Free Malaysia TodayPETALING JAYA: Sebarang langkah untuk membaik pulih Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mesti merangkumi rombakan proses penyelesaian aduannya, menurut seorang pakar pengangkutan.

Perunding pengangkutan Rosli Khan, yang menyokong pembaikpulihan Mavcom berkata, tidak wajar penumpang menunggu 30 hari untuk aduan mereka ditangani syarikat penerbangan atau lapangan terbang sebelum boleh menghubungi suruhanjaya itu.

“Bagaimana jika Mavcom mengambil masa 30 hari lagi untuk menyiasat aduan?” soalnya.

Rosli berkata, Mavcom harus menerbitkan data mengenai amalan tidak beretika dan perkhidmatan yang buruk oleh syarikat penerbangan, dan aduan daripada penumpang bagi memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan termaklum.

“Ia juga akan memastikan akauntabiliti di pihak syarikat penerbangan. Barulah ada insentif untuk mereka menambah baik perkhidmatan dan menangani rungutan pengguna untuk mengekalkan reputasi dan bahagian pasaran mereka.

“Penumpang tidak akan memilih syarikat penerbangan dengan rekod kelewatan atau pembatalan. Elemen ketelusan ini penting bagi kedua-dua syarikat penerbangan dan penumpang,” katanya kepada FMT.

Jumaat lepas, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyarankan agar Mavcom dibaik pulih dengan ketara, memetik kegagalannya melindungi hak pengguna secukupnya.

Zaid berkata demikian susulan insiden baru-baru ini apabila beliau dikenakan bayaran RM50 kerana membetulkan kesilapan kecil dalam namanya ketika mendaftar masuk untuk penerbangan.

CEO Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Saravanan Thambiraj berkata, walaupun Mavcom telah melaksanakan sistem aduan pengguna yang lebih baik, iaitu sistem FlySmart, banyak lagi usaha boleh dilakukan.

“Memiliki sistem pengendalian aduan tidak menyelesaikan isu sebenar, iaitu lebih mempertanggungjawabkan syarikat penerbangan dari segi perlindungan pengguna,” katanya kepada FMT.

Katanya, walaupun wabak Covid-19 sudah berlalu, isu-isu seperti pemulangan wang, pembatalan dan kelewatan penerbangan, serta kehilangan bagasi berlarutan.

“Kualiti perkhidmatan syarikat penerbangan tertentu dari segi daftar masuk di kaunter,(pengendalian) bagasi dan lain-lain masih tidak memuaskan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembaikpulihan Mavcom memerlukan proses yang kompleks yang mesti merangkumi semakan dasar, mungkin juga perubahan perundangan dan persetujuan pihak berkepentingan.

“Dari sudut kebolehlaksanaan, baik pulih sebegini memerlukan semakan dasar yang komprehensif, perundangan baharu dan semestinya persetujuan daripada pihak-pihak berkepentingan, iaitu kerajaan, industri dan pengguna,” katanya.