Free Malaysia TodayPETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yakin penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan mampu mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan bakar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Saravanan Thambirajah, berkata kad fleet yang membolehkan pengendali kenderaan layak membeli diesel subsidi di stesen ditetapkan juga membantu menghapuskan pengendali pasaran gelap dan penyeludup.

“Menyasarkan pengendali dan penyeludup ini, kita secara berperingkat menangani kerugian kewangan kesan penyeludupan dan ketirisan,” katanya kepada FMT.

Pada Februari, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata tiga juta liter diesel diseludup keluar setiap hari, mengakibatkan kerugian RM4.4 juta sehari.

Saravanan tidak memperkecilkan kemungkinan penyeludup cuba memanipulasi sistem dilaksanakan memandangkan diesel subsidi dijual di negara ini lebih murah berbanding negara jiran.

Justeru, beliau berkata penting bagi kerajaan meningkatkan penguatkuasaan.

Pada 21 Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi diesel. Buat permulaan, penyasaran dilakukan di Semenanjung sahaja, kemudian akan diperluaskan ke Malaysia Timur.

Anwar berkata, penyasaran subsidi di Sabah dan Sarawak ditangguhkan kerana ramai isi rumah menggunakan pengangkutan berkuasa diesel bagi kegunaan harian.

Penyasaran subsidi bermula Isnin lalu dengan harga ditetapkan RM3.35 seliter.

Dalam pada itu, ahli ekonomi Geoffrey Williams, berkata sistem kad fleet dilihat memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan bertujuan menghalang penyelewengan subsidi.

“Ia akan membantu mengurangkan pembaziran, ketirisan, dan korupsi di mana menjadi masalah terbesar subsidi diesel,” katanya.

Williams juga mengakui, pendekatan berlainan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah besar pengguna bukan komersial diesel di negeri tersebut.

“Jadi, sistem di sana akan ada perbezaan berbanding di Semenanjung, yang mana menyasarkan pengguna komersial. Ia akan mengambil lebih masa dan melibatkan sistem berlainan.”

Saravanan menggesa kerajaan segera merumuskan pelan penyasaran di Malaysia Timur.

“Kita berharap kerajaan melaksanakan langkah segera di Sabah dan Sarawak kerana penyeludup dan pengendali pasaran gelap beroperasi di Semenanjung akan berpindah ke wilayah itu demi meneruskan kegiatan bawah tanah mereka.”