Free Malaysia TodayPETALING JAYA: Peredaran zaman yang menyaksikan ledakan teknologi turut memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Boleh dikatakan hampir setiap kediaman dilengkapi barangan elektrik asas seperti televisyen, kipas, lampu dan peti sejuk.
Kecanggihan internet kebendaan (IoT) juga menyebabkan lebih banyak peralatan elektrik canggih dihasilkan digunakan secara meluas untuk memudahkan kehidupan seharian pengguna, bukan semata-mata sebagai ‘perhiasan’ gaya hidup.

Ditambah faktor seperti cuaca, barangan elektrik tambahan seperti penyaman udara juga telah menjadi sebahagian keperluan demi keselesaan penghuni rumah sekali gus mendorong peningkatan tenaga yang memberi kesan kepada bil bulanan pengguna.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Malaysia kini bergantung kepada bahan api sebagai sumber utama dalam sektor tenaga elektrik, namun ada penumpuan semakin meningkat kepada sumber boleh diperbaharui seperti kuasa hidro serta tenaga solar.

Sebahagian besar tarif dibayar pengguna ini untuk menampung kos bahan api dianggarkan 70% yang harganya bergantung pasaran global tidak boleh dikawal.

Laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan (NEB) 2017 menunjukkan permintaan tenaga dilaporkan meningkat lebih tinggi daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 9.2% (10.5% pada 2016). Kajian itu menunjukkan penggunaan domestik dan peningkatan aktiviti ekonomi telah memacu pertumbuhan permintaan itu.

Lanjutan pelarasan cukai perkhidmatan kepada 8% bagi penggunaan elektrik lebih 600 kWj sebulan sejak 1 Mac lalu, kesannya mungkin dirasai segelintir pengguna namun bukan majoriti 85% isi rumah di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) T Saravanan berkongsi beberapa panduan untuk mengelakkan kenaikan itu antaranya:

  • Tutup alat elektrik jika tidak digunakan terutama peranti mod siap sedia seperti penyaman udara dan dekoder TV
  • Tutup peranti seperti penapis air elemen pemanas ketika tiada
  • Tetap penyaman udara pada 24 darjah Celcius
  • Beli alat elektrik cekap tenaga lima bintang disahkan Suruhanjaya Tenaga

Sentiasa pantau penggunaan elektrik

Jurutera tenaga dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Nurul Akla Mohd Azlan pula memberitahu FMT kaedah bekerja dari rumah yang diperkenal secara meluas ketika Covid-19 melanda turut memberi kesan penggunaan tenaga.

“Peranti kerap digunakan seperti komputer riba, tablet, dan telefon pintar perlu kerap dicas semula yang turut menyumbang peningkatan bil elektrik,” tambah Nurul Akla.

Beliau juga menekankan keperluan pengguna untuk memanfaatkan kemudahan mengawal penggunaan elektrik seperti seperti ‘MyTNB’ dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mempunyai ciri khas seperti penetapan had bulanan.

“Pengguna akan diberi amaran jika penggunaan elektrik hampir mencecah had terbabit,” katanya.

Diperkenalkan tiga tahun lalu, selain membantu menyemak bil elektrik dan pembayaran dengan mudah, aplikasi itu juga dilengkapi satu pautan ciri iaitu My Energy Budget yang direka untuk membantu pengguna memiliki meter pintar menguruskan penggunaan elektrik dengan lebih baik pada waktu nyata (real time).

Sebagai contoh apabila pengguna menetapkan bajet bil bulan tersebut sebanyak RM150, mereka akan mendapat notifikasi jika penggunaan tenaga hampir mencapai amaun tersebut.

Alternatif lain

Bagi Amir Abdul Razak, pensyarah kanan Fakulti Teknologi Mekanikal dan Automotif UMPSA, penggunaan tenaga solar untuk mengurangkan bil bulanan elektrik perlu dimanfaatkan untuk jangka panjang terutama selepas kerajaan memperkenalkan inisiatif Solar for Rakyat Incentive Scheme (Solaris).

Solaris bertujuan menggalakkan pemasangan sistem fotovoltan solar (PV) di kediaman bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

“Panel solar biasanya mempunyai purata jangka hayat 25 hingga 30 tahun dan dapat menghasilkan elektrik percuma selama beberapa dekad.

“Secara tidak langsung, ia dapat menampung pulangan balik pelaburan awal serta menyediakan penjimatan kewangan yang signifikan dalam tempoh panjang,” katanya yang mencadangkan pengguna komersial dan domestik beralih kepada panel solar fotovoltaik.