Foto hiasan. Foto fail NSTP KUALA LUMPUR: Negara ini mesti mempunyai Dasar Sekuriti Makanan yang menyeluruh termasuk memperluas kegiatan pertanian terutamanya bagi pengeluaran beras supaya tidak bergantung kepada import.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata jika Malaysia banyak bergantung kepada produk luar, ada kesan buruk kepada pengguna jika berlaku sekatan kerana harga yang ditawarkan akan melonjak.

"Agensi kerajaan boleh menggunakan semula tanah terbiar untuk pertanian, selain membantu petani dengan pemberian insentif dan memodenkan pertanian menggunakan teknologi terkini," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan beras di negara ini serta cadangan untuk melaksanakan Beras Putih Malaysia MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk beberapa wakil industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pesawah serta pengilang bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, mengenai cadangan pelaksanaan kategori tunggal beras putih bagi menggantikan pengkelasan sedia, Saravanan berkata, pelaksanaan itu tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku kini.

"Perlu dapatkan input dari peniaga, pembekal dan pihak berkaitan lain. Kerajaan juga boleh membantu memberi subsidi bersasar untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan kerajaan.

"Kerajaan perlu memberi perhatian yang menyeluruh dalam isu bekalan beras kerana ini makanan utama negara. Sebarang penyelewangan perlu diambil tindakan atau denda yang berat.

"Penguat kuasa perlu memantau supaya penyelewangan tidak berlaku," katanya.