SKos rawatan yang tidak terkawal mengakibatkan pesakit mengabaikan rawatan perubatan kerana tidak mampu membayar harga ubat yang tinggi. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nur Asyikin)HAH ALAM - Kerajaan digesa mengawal selia sektor perubatan swasta bagi memastikan pelaksanaan tanda harga ubat-ubatan di klinik dan hospital kategori itu dapat melindungi hak pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, akses kepada ubat-ubatan berpatutan dan telus bukan sekadar keperluan, tetapi hak asas pengguna yang perlu dihormati semua penyedia perkhidmatan kesihatan.

"Kami percaya meletakkan tanda harga dapat memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan lebih baik mengenai kesihatan mereka, di samping meningkatkan ketelusan.

"Kerajaan perlu memainkan peranan bagi memastikan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tidak mengambil kesempatan ke atas pesakit yang sering kali berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu beliau menegaskan, kegagalan mengawal harga ubatan sektor swasta memberi impak negatif terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Malah menurutnya, kos rawatan yang tidak terkawal mengakibatkan pesakit mengabaikan rawatan perubatan kerana tidak mampu membayar harga ubat yang tinggi.

"Pengguna mungkin terpaksa berhutang atau mendapatkan pinjaman semata-mata untuk membiayai rawatan yang boleh membawa kepada beban kewangan lebih besar.

"Fenomena 'medical tourism' dalam kalangan rakyat sendiri juga boleh berlaku jika harga ubat di Malaysia terus meningkat tanpa kawalan," ujarnya.

Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat, Nur Asyikin menggesa kerajaan bertindak untuk memastikan akses kepada ubat-ubatan mampu milik sebagai satu hak asas yang tidak boleh diperdagangkan demi keuntungan korporat.

Justeru katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga perlu memainkan peranan dalam menangani isu berkenaan dengan meminda Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 bagi memasukkan mekanisme kawalan harga yang lebih ketat.

Menurutnya, undang-undang semasa tidak cukup kuat untuk membolehkan kementerian itu mengambil tindakan ke atas pencatutan harga ubat di sektor swasta.

"KPDN perlu diberi kuasa untuk memeriksa klinik dan hospital swasta secara berkala serta mengenakan tindakan terhadap mereka yang mengenakan harga ubat yang tidak berpatutan.

"Pengguna juga harus diberi saluran aduan yang berkesan untuk melaporkan kes pencatutan harga ubat dengan tindakan pantas dari pihak berkuasa," katanya.