SHAH ALAM - Aduan berhubung penipuan pembelian dalam talian termasuk hak tuntutan ganti rugi dan kelemahan perlindungan pengguna seperti produk hampir tamat tempoh atau palsu, kekal menjadi aduan tertinggi diterima sejak 2018.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, antara aduan lain yang kerap diterima termasuk pengguna tidak menerima barang yang telah dipesan dan masalah mekanisme Buy Now Pay Later (BNPL) di mana bayaran bank gagal direkodkan dalam e-dompet menyebabkan pengguna tersepit antara pihak bank dan e-dagang.
“Selain itu, terdapat kes tempoh ansuran BNPL didakwa diubah tanpa persetujuan pengguna menyebabkan mereka berhutang lebih lama daripada yang dipilih. Iklan produk yang tiada stok turut menjadi isu apabila pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran balik.
“Kebanyakan pengguna menghadapi kesukaran menuntut ganti rugi kerana penjual atau platform e-dagang enggan bertanggungjawab, menyebabkan masalah ini masih tiada jalan penyelesaian,” katanya kepada Sinar Harian.
Kongsi beliau, kebanyakan aduan yang diterima daripada pengguna adalah melalui platform pusat aduan di bawah Fomca iaitu National Consumer Complaints Centre (NCCC).
Kata Nur Asyikin, ramai pengguna masih tidak menyedari bahawa mereka berhak menuntut ganti rugi jika berlaku masalah dalam pembelian secara dalam talian.
Mengulas berkenaan pembelian kaedah BNPL, beliau mengakui kebimbangannya terhadap trend tersebut yang semakin popular sekali gus berisiko menjerat pengguna ke dalam hutang tidak terkawal.
“Sebenarnya BNPL ada kebaikan dan keburukan. Contoh yang saya nampak sekarang ini, kos harian makin tinggi dan ada barang keperluan betul-betul kita perlu macam peti sejuk. Tidak salah nak beli, tetapi buruknya bila kita beli barang kehendak yang mahal sebab takut ketinggalan ataupun seperti fenomena fear of missing out (FOMO).
“Bila FOMO mulalah kita nak guna kaedah BNPL, jadi saya sarankan jangan guna dan elakkan untuk guna. Kita risau sekarang adalah caj pembayaran lewat yang masih belum dikawal.
“Kalau pengguna disiplin dan bayar tepat pada waktu tidak ada masalah, kalau lambat bayar itu yang membimbangkan, jadi elakkanlah guna langsung tambah lagi dekat golongan muda yang selalu FOMO ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menekankan risiko penipuan dalam transaksi tunai ketika menggunakan perkhidmatan tunai semasa penghantaran (COD) yang semakin meningkat.
Jelasnya, terdapat kes di mana scammer menyamar sebagai penghantar barangan dan meminta bayaran COD sedangkan barang sebenar masih belum dihantar.
Oleh itu, tegas beliau, perlindungan kepada pengguna perlu diperketatkan dengan mekanisme pemantauan yang lebih kuat dan peraturan lebih tegas terhadap peniaga serta platform jualan dalam talian.
Sebelum ini Sinar Ahad melaporkan sebanyak 70.6 peratus penduduk negara ini membuat aktiviti pembelian barangan dan perkhidmatan melalui platform e-dagang bagi tempoh sepanjang tahun 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan itu meningkat sekitar 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, 70.4 peratus, dan 64.7 peratus pada 2021.
Menurutnya, statistik itu diukur menerusi Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah (ICTHS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).