Kerajaan digesa mengutamakan keperluan sumber air bersih bagi isi rumah dengan menetapkan had penggunaan air yang ketat bagi pusat data serta mewajibkan penggunaan teknologi penyejukan yang lebih cekap dalam penggunaan air. Gambar hiasan 123RFSHAH ALAM - Kerajaan digesa mengutamakan keperluan sumber air bersih bagi isi rumah dengan menetapkan had penggunaan air yang ketat bagi pusat data serta mewajibkan penggunaan teknologi penyejukan yang lebih cekap dalam penggunaan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan berkata, tanpa dasar pengurusan air yang berkesan, negara berisiko menghadapi tekanan air yang serius dalam masa terdekat.

Menurutnya, pada masa ini, penggunaan air per kapita di Malaysia adalah sebanyak 226 liter sehari, jauh melebihi had yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 165 liter.

"Sebuah pusat data biasa dengan kapasiti 100 MW (megawatt) boleh menggunakan sekitar 4.2 juta liter air setiap hari, bersamaan dengan penggunaan harian sebuah bandar yang mempunyai 10,000 penduduk.

"Populasi Malaysia dijangka mencapai 40 juta menjelang tahun 2040. Seiring dengan pertumbuhan populasi,permintaan terhadap air bersih dan boleh diakses juga akan meningkat."

"Oleh itu, bekalan air domestik perlu diutamakan berbanding penggunaan industri demi memastikan kesihatan awam dan kualiti hidup yang terjamin,"katanya dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) pada Isnin.

Tambah beliau, ramalan juga menunjukkan penggunaan air oleh pusat data di Malaysia boleh mencapai 37 bilion liter pada tahun 2025, dan mungkin mencecah 93 bilion liter menjelang 2030.

"Lonjakan permintaan air untuk industri ini berpotensi mengeruhkan lagi kekurangan air yang sedia ada, terutamanya di negeri-negeri seperti Selangor dan Johor, yang sedang giat membangunkan banyak pusat data.

"Pengembangan industri yang menggunakan sumber air secara intensif, seperti pusat data, tidak boleh mengorbankan akses rakyat kepada air bersih,"tegasnya.

Justeru Saravanan berkata, usaha untuk mempromosikan kitar semula air perlu diberi penekanan dan kerajaan perlu mewajibkan pusat data menggunakan air sisa yang telah dirawat sebagai ganti air bersih untuk tujuan penyejukan.

Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam membangunkan dan mempelbagaikan sumber air bagi memastikan keselamatan air jangka panjang.

"Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan termasuk membangunkan sistem penangkapan air hujan berskala besar di kawasan bandar dan industri, memperluaskan penggunaan teknologi penyahgaraman air laut di negeri-negeri pesisir serta meningkatkan pelaburan dalam projek pemulihan air untuk kegunaan industri.

"Dengan meneroka sumber air alternatif, Malaysia dapat mengurangkan pergantungan terhadap sumber air tawar serta menguruskan bekalan air dengan lebih cekap bagi memenuhi keperluan domestik dan industri," katanya.