Februari 21, 2024 @ 3:54pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan pewarna ke atas bahan segar untuk menipu pengguna.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin, berkata pemeriksaan secara mengejut perlu kerap dilakukan oleh pihak penguat kuasa supaya memberi tekanan kepada pihak peniaga untuk sentiasa mematuhi standard keselamatan makanan tanpa sebarang kompromi.
"Tidak dinafikan peniaga warga asing kebanyakannya berniaga tanpa lesen atau menggunakan lesen atas angin atau disewa daripada warganegara Malaysia sendiri.
"Perbuatan berkenaan menyebabkan peniaga warga asing tidak mempunyai pendedahan dengan standard keselamatan makanan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri atau Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya kepada BH, hari ini.
Jelas beliau, peniaga tempatan juga kemungkinan ada melakukan kesalahan sama dengan mengambil contoh ada kes membabitkan sayur-sayuran dan air mineral keluaran Malaysia yang ditarik balik oleh Singapura susulan tidak mematuhi standard keselamatan.
"Perkara terbabit membuktikan penguatkuasaan, terutama mengenai standard keselamatan makanan di Malaysia perlu dipertingkatkan," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Junainah Abbie, berkata pihaknya mengesan seorang peniaga ikan menggunakan bahan pewarna dipercayai untuk 'mencantikkan' ikan yang dijualnya di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu.
Katanya, ia susulan pemeriksaan yang dijalankan anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu berikutan laporan di media sosial mengenai tindakan peniaga ikan meletakkan bahan pewarna dalam tong ikan, sehari sebelum itu.