2330438Alor Setar: Kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini memberi kesan ketara kepada peniaga makanan kerana sukar memperoleh stok hinggakan terpaksa membeli beras import walaupun berlaku kenaikan harga.

Peniaga makanan, Zaiton Othman, 52, berkata, sebelum ini dia membeli bekalan beras tempatan sekitar dua atau tiga kampit untuk jualan nasi lemak seminggu sekali tetapi namun terpaksa keluar mencari setiap hari sejak kebelakangan ini.

Katanya, ada kedai yang mengehadkan pembelian beras tempatan hanya sekampit bagi 10 kilogram (kg) hinggakan dia terpaksa mencari di tempat lain.

"Saya kena pusing cari kedai lain untuk beli beras tempatan untuk stok berniaga setiap hari kerana tak mampu beli beras import yang mahal harganya.

"Walaupun bekalan beras berkurangan namun saya masih kekalkan harga nasi lemak sekitar RM1 hingga RM1.50 kerana kasihan pada pelanggan jika harga dinaikkan," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.


Peniaga runcit, Zaiton Saad, 59, berkata, setakat ini dia tidak mengehadkan pembelian beras putih tempatan kepada pelanggan kerana pelanggan yang datang kebanyakannya terdiri daripada individu.

"Biasanya pelanggan yang datang hanya beli sekampit saja untuk kegunaan di rumah tetapi kalau ada yang nak beli lebih, saya jual saja.

"Selalunya saya ambil stok daripada pemborong sekitar 10 hingga 15 kampit dan bila habis tu, saya akan ambil stok yang baru," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan mengehadkan pembelian 100 kilogram (kg) beras putih tempatan kepada individu kerana ia dapat mengatasi masalah kekurangan beras di pasaran.

"Jika berlaku pembelian panik daripada pengguna sekalipun, saya rasa stok beras masih mencukupi kerana beras tempatan masih berada dalam 70 peratus dalam pasaran.

"Tapi hari ini kita dapati dalam pasaran hanya ada beras import saja yang berlaku kenaikan harga malah kebanyakan tempat di negeri ini, pengguna mendakwa kawasan mereka tidak ada beras tempatan," katanya ketika melakukan tinjauan di sini hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata, pihak kementerian dan agensi berkaitan perlu melakukan satu pelan jangka masa panjang untuk mengelakkan perkara ini terus berlaku.

Katanya, sekiranya kita terus bergantung pada beras import, ia amat bahaya disebabkan sudah ada negara yang berhentikan penjualan eksport beras kepada negara lain.