kadar inflasiKUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan dan teras diunjurkan terus sederhana pada separuh kedua tahun ini dengan inflasi keseluruhan diunjurkan berada pada purata julat yang lebih rendah dalam unjuran 2.8 peratus hingga 3.8 peratus tahun ini.

Namun, risiko terhadap prospek inflasi bergantung kepada perubahan terhadap dasar domestik berhubung subsidi dan kawalan harga, selain perkembangan harga komoditi global serta pasaran kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata walaupun tekanan kos berkurangan, inflasi teras kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan kekal agak kukuh.

Beliau berkata, imbangan risiko kepada inflasi pula kebanyakannya terikat dengan perkembangan global.

Katanya, risiko meningkat dalam jangka terdekat termasuk harga komoditi global yang lebih tinggi berikutan konflik geopolitik, keadaan cuaca buruk susulan El Nino dan input import yang lebih tinggi di tengah-tengah susut nilai tukaran asing.

"Risiko ini boleh diimbangi oleh harga komoditi global yang rendah berikutan prospek pertumbuhan global yang lebih lemah, dan pelepasan lebih pantas permintaan terpendam domestik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 di sini, hari ini.

Pada suku kedua 2023, inflasi keseluruhan terus sederhana kepada 2.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku pertama 2023.

Sementara itu, inflasi teras pula berkurangan kepada 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku pertama tahun ini.

Namun, kadar inflasi teras itu lebih tinggi berbanding purata jangka panjang 2.1 peratus yang dicatatkan dalam tempoh 2011 hingga 2019.

Pemacu utama bagi inflasi keseluruhan pada 2023 ialah inflasi teras yang tinggi, rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur, persekitaran kos global yang sederhana selain kawalan harga dan subsidi.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Abdul Rasheed berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada mesyuaratnya bulan lalu.

Beliau berkata, pada paras OPR semasa, MPC berpandangan pendirian dasar monetari menjadi sedikit akomodatif dan menyokong ekonomi.

"Melangkah ke hadapan, MPC akan terus memantau dengan teliti perkembangan berterusan domestik dan global serta kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.

"MPC akan memastikan bahawa pendirian dasar monetari kekal kondusif kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan di tengah-tengah kestabilan harga," katanya.