Julai 1, 2022 @ 9:29am
Kuala Lumpur: Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi membuktikan kerajaan tidak mengamalkan sikap lepas tangan dalam menyelesaikan isu rakyat yang kian mendesak.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ramai yang tidak sedar bagaimana kerajaan menjalankan peranan mereka dalam mengurangkan impak inflasi kepada rakyat.
Katanya, penubuhan pasukan itu adalah satu pendekatan rentas kementerian yang holistik dirumuskan kerajaan dan memastikan rakyat memahami situasi yang sedang melanda negara.
"Saya rasa tindakan yang dilakukan pasukan ini kalau dilihat tindakannya sama sepertimana kita menangani Covid-19. Kerajaan membuat pengumuman setiap kali mesyuarat diadakan untuk maklumkan rakyat apakah tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah inflasi dan rakyat juga dapat bertindak bersama," katanya.
Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ekonomi BIMB Securities Imran Nurginias berkata langkah menubuhkan pasukan itu juga membolehkan kerajaan memulihkan ekonomi dengan mendalami kelemahan pasaran.
"Pasukan petugas ini juga akan mendengar pandangan dan rungutan pengguna serta input daripada kumpulan pengguna," katanya.
Dalam pada itu, Imran berharap pasukan khas yang ditubuhkan pada Rabu lepas itu dapat menyusun strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.
Katanya, perkara itu dapat dicapai melalui penguatkuasaan yang lebih jitu dalam mencegah salah laku peniaga dan melihat kepada kesan domino akibat kenaikan harga barang serta menyelesaikan masalah rantaian bekalan barangan.
Sementara itu, Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia Luqman Hakim Md Zim pula memberi saranan kepada pasukan itu supaya mengkaji semula subsidi bersasar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju untuk mengurangkan beban rakyat.
"Saya berpandangan pasukan Jihad itu perlu mengkaji semula pelaksanaan dan peruntukan subsidi rawak seperti yang kerajaan berikan terhadap petrol...selain dapat jimatkan perbelanjaan kerajaan, ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat di negara ini," katanya.
Luqman Hakim turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan kad pembelian khususnya untuk barangan terkesan seperti beras, minyak masak dan sebagainya.
Katanya, kad pembelian itu adalah langkah yang terbaik supaya kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan negara dan sebaliknya memberikan bantuan yang lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Rabu lepas, Mesyuarat Jemaah Menteri dilaporkan bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.