Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyeru pengguna merebut peluang membeli produk asas tani dengan harga lebih rendah melalui program MyFarm Outlet yang akan dilaksanakan mulai Mac ini.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata program yang merupakan inisiatif baharu untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat itu memerlukan sokongan penuh pengguna bagi memastikan kejayaannya.

"Sepertimana kejayaan pasar-pasar tani dan agrobazar sebelum ini, program ini adalah platform terbaik untuk pengguna membeli dengan harga lebih murah dan paling penting membantu memerangi peranan orang tengah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lepas, mengumumkan pelancaran pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet di seluruh negara.

Rangkaian pertama MyFarm Outlet akan beroperasi di Presint 7, Putrajaya bermula Mac ini, manakala 10 lagi akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berharap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) konsisten dalam mementingkan keperluan pengguna dan mengelak daripada memikirkan keuntungan agar harga stabil yang rendah boleh diberikan.

"Oleh kerana produk yang dijual nanti adalah secara terus dari peladang-peladang yang mempunyai kontrak dengan FAMA, jadi selain daripada harga yang murah, produk yang dijual juga pastinya segar dan berkualiti, ini satu lagi kelebihan kepada pengguna," katanya.

Seorang suri rumah, Rokiah Mohd Arriff, 58, berkata program MyFarm Outlet ini merupakan peluang untuk suri rumah sepertinya menjimatkan belanja harian kerana harga yang ditawarkan lima hingga 20 peratus lebih rendah.

"Saya berharap akan dibuka satu cawangan di kawasan Gombak iaitu berhampiran dengan tempat tinggal saya untuk memudahkan saya berbelanja di sana," katanya.

Seorang lagi pengguna, Nor Hizah Md Noor, 36, berkata, selain dari Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), program MyFarm Outlet dilihat sebagai inisiatif terbaik bagi membantu golongan pengguna membeli barangan segar dengan harga lebih rendah.

"Selama ini saya berbelanja di pasar raya besar yang mengenakan harga tidak tentu setiap hari. Jika program ini (MyFarm Outlet) diperluaskan pasti pengguna dapat berjimat dan kami boleh melebihkan tabungan," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar sebelum ini memberi jaminan program MyFarm Outlet akan menawarkan harga produk asas tani pada kadar lebih berpatutan berbanding harga pasaran.

Beliau berkata FAMA telah merangka beberapa mekanisme bagi memastikan harga dijual lebih murah antara lima dan 20 peratus.

Sumber : Bernama – Am – 3 Februari 2016 (Rabu), http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1212937