ISMAIL Sabri menanam pokok manggis di pekarangan Kompleks Rakan Muda Bera sambil dibantu oleh Presiden FOMCA, N Marimuthu (kanan), semalam
Elak pengguna lakukan transaksi dalam talian ditipu
BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam proses meminda Akta e-Dagang bagi melindungi pengguna melakukan transaksi melalui internet seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menipu pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya giat memperhalusi segala butiran membabitkan pindaan akta, termasuk memasukkan hukuman atau penalti yang sebelum ini tidak ada dalam peruntukan akta berkenaan.
“Jika sesuatu produk ditawarkan tidak menepati seperti yang diiklankan, kita sebenarnya masih boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.
“Bagaimanapun, jika ia membabitkan produk kesihatan, penguatkuasaan mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kempen Tanam Sendiri-Jimat Belanja 2010 anjuran bersama FOMCA, yang disertai lebih 200 penduduk di sekitar daerah ini, di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai produk pelangsing badan, kosmetik dan ubat-ubatan tradisional yang disahkan mengandungi bahan kimia, termasuk steroid dijual secara berleluasa di alam siber.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna membabitkan kes penipuan barang yang tidak sampai dan produk tidak menepati seperti yang diiklankan dalam laman web.
Ismail Sabri juga berkata, pihak kementerian akan mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada pengguna mengenai produk yang dijual melalui internet bagi melindungi kepentingan mereka.
“Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan mengadakan kempen kesedaran kepada pengguna tetapi penguatkuasaan dilakukan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Ditanya sama ada kementeriannya bercadang mengenakan lesen kepada orang ramai yang menjalankan perniagaan melalui internet, beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam penyediaan Akta e-Dagang.
Terdahulu, berucap pada majlis itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, menyambut baik usaha dilakukan FOMCA kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan pengguna ke atas barang keperluan harian.
“Ia sekali gus membantu mengurangkan kenaikan harga barang seperti cili, sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika kita dapat menanam sendiri, kita bukan saja dapat hasil yang segar tetapi dapat juga berjimat dalam perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata, kempen itu juga dapat memberi kesedaran kepada pengguna bahawa mereka tidak boleh menyalahkan orang lain, terutama kerajaan apabila harga barang naik, sebaliknya mengubah sikap selesa dengan mempelajari ilmu dan kemahiran baru untuk kehidupan yang lebih baik.
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/12/13