Info grafik KKM.GEORGETOWN: Makanan ringan yang dijual kepada kanak-kanak termasuk berhampiran kawasan sekolah, perlu dipantau dari aspek kandungan dan keselamatannya.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan aktivis, NV Subbarow, berkata makanan ringan berkenaan wajar mempunyai logo kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ini mengenai kesihatan kanak-kanak, sudah tiba masanya KKM mengambil tindakan.

"Tindakan harus diambil terhadap peniaga yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah.

"KKM tidak boleh berdiam diri. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa mengenai kualiti, kandungan, apa yang ada di dalam makanan dan sebagainya.

"Satu-satunya tarikan ialah warna dan gula atau kemanisan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Subbarow mengulas kejadian menimpa kanak-kanak berusia 10 tahun yang meninggal dunia dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Katanya, tinjauan CAP mendapati lebih 200 makanan ringan dijual di negeri ini dan dipercayai di seluruh negara.

"Semuanya mengandungi gula dengan pelbagai jenis pewarna yang tidak sesuai untuk kanak-kanak," katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kritikal dipercayai tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA), Sungai Dua, Butterworth.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, malam tadi.