BANGI: Kerajaan akan mencadangkan satu indeks pengukur kos sara hidup bagi menentukan kenaikan gaji lebih munasabah.Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kaedah pengukuran menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diguna pakai pada masa ini tidak mencukupi untuk menentukan kenaikan gaji sebenar yang diperlukan rakyat."Kita memerlukan satu indeks pengukur lain untuk menunjukkan peningkatan kos sara hidup yang berbeza, bukannya seperti IHP yang mana memasukkan semua perkara."Saya akan mencadangkan perkara ini kepada Bank Negara Malaysia atau mungkin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengadakan satu perbandingan dan model berhubung cadangan indeks berkenaan."Dengan adanya kayu ukur atau indeks sedemikian, kita boleh kongsikan kepada setiap majikan di negara ini, yang mana ia bermanfaat kepada pekerja" katanya ketika berucap pada pelancaran 'Belanjawanku' - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga di Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman.Beliau berkata, indeks berkenaan akan menentukan kenaikan gaji pekerja dan boleh dijadikan titik rujukan lebih tepat, adil dan saksama untuk 15 juta pekerja di Malaysia."Menerusi indeks itu, ia juga membantu kita mencapai aspirasi untuk satu kadar gaji yang membolehkan seseorang menyertai aktiviti masyarakat dan keperluan kehidupan mereka," katanya.Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang rendah iaitu 0.7 peratus pada Januari 2019 dan kos sara hidup masih lagi membebankan sesetengah golongan masyarakat.Mengulas mengenai pelancaran itu, Guan Eng berkata, berdasarkan kajian S&P Global Literacy Financial pada 2014 melaporkan tahap kecelikan kewangan di Malaysia hanya berada pada tahap 36 peratus berbanding sekitar 59 peratus di negara maju.

"Kadar kecelikan kewangan yang rendah antara faktor menyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan di kalangan belia."Antara 2013 dan 2017, 100,610 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis, dan 60 peratus daripada mereka berusia dari 18 hingga 44 tahun," katanya.Justeru katanya, panduan Belanjawanku memudahkan orang ramai memahami corak perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang mungkin kompleks."Belanjawanku juga boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta pemarkahan kredit peribadi dengan mendalam."Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan memerlukan," katanya.