PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.Majlis dianggotai 16 individu yang dilantik sebagai ahli majlis berkuat kuasa serta-merta, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Pejabat Perdana Menteri berkata majlis itu ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang dihadapi mereka, khususnya dalam bidang ekonomi.
“Matlamat utama majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.“Majlis ini juga akan meneliti isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Ahli majlis terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
Selain itu, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.
Ahli lain ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj; peguam, Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Nizam Mahshar.Pejabat Perdana Menteri berkata, sekretariat bagi majlis itu adalah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri. Pada 1 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menubuhkan satu badan yang akan meneliti dan membuat keputusan mengenai ekonomi negara.