SIARAN MEDIA: SAMBUTAN HARI HAK PENGGUNA SEDUNIA 2025 MENEKANKAN PERALIHAN GAYA HIDUP LESTARI SECARA ADIL
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia 2025 bertempat di SMK Cheras Jaya pada 17 Mac 2025, yang dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Zaid Bin Idris, Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Majlis sambutan ini turut dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk Yang Berbahagia Prof Emeritus Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan juga Consumers International, Ketua Cawangan KPDN Kajang, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Tenaga Nasional Berhad, guru-guru, pelajar dan warga kerja SMK Cheras Jaya, serta wakil media.
FOMCA memilih Majlis Sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia tahun ini dibuat di sekolah bagi memberi ruang kepada pelajar, guru dan warga sekolah untuk memahami kepentingan kepenggunaan lestari. Dengan adanya kesedaran yang lebih tinggi, diharapkan masyarakat dapat bersama-sama mengambil langkah untuk memperkukuh usaha ke arah gaya hidup lestari secara adil.
FOMCA menegaskan bahawa perubahan iklim yang semakin ekstrem dan kesan negatifnya terhadap keterjaminan makanan, kepupusan biodiversiti, serta pencemaran alam sekitar memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Krisis ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga kepada ekonomi dan sosial, seterusnya merencat pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDGs).
Tema "Peralihan Gaya Hidup Lestari Secara Adil" merujuk kepada usaha untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam secara adil, inklusif, dan mampan. Konsep ini menekankan beberapa elemen penting:
- Gaya Hidup Lestari (Sustainable Lifestyles)
- Mengurangkan penggunaan sumber yang berlebihan seperti tenaga, air, dan plastik.
- Mengamalkan penggunaan produk yang lebih mesra alam dan boleh dikitar semula.
- Menyokong kitaran ekonomi dengan mengurangkan pembaziran dan memanjangkan hayat sesuatu produk.
- Menggalakkan diet yang lebih sihat dan mesra alam, seperti mengurangkan pembaziran makanan dan menyokong pertanian yang mampan.
- Peralihan yang Adil (A Just Transition)
- Memastikan perubahan ke arah kehidupan lestari tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
- Menyediakan akses yang saksama kepada sumber yang mampan seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan awam mesra alam, dan makanan sihat yang mampu milik.
- Menyokong pekerjaan hijau (green jobs) dan memastikan pekerja dalam industri yang terkesan (contohnya industri bahan api fosil) mendapat peluang pekerjaan alternatif dalam sektor hijau.
- Mengelakkan jurang sosial dengan memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan luar bandar dan rentan, mendapat manfaat daripada peralihan ini.
- Tindakan Pengguna dan Komuniti
- Pengguna diberi pilihan yang lebih mudah dan mampu milik untuk membuat keputusan yang mampan.
- Pendidikan dan kesedaran mengenai impak penggunaan terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosial ditingkatkan.
- Kerjasama antara kerajaan, syarikat, dan masyarakat untuk menyediakan infrastruktur dan insentif bagi menyokong amalan lestari.
Contoh Peralihan Gaya Hidup Lestari Secara Adil
- Penggunaan tenaga: Meningkatkan akses kepada tenaga boleh baharu seperti solar dan angin, terutama bagi komuniti luar bandar, tanpa membebankan kos kepada mereka.
- Pengangkutan: Memastikan pengangkutan awam yang cekap, selesa, dan mampu milik supaya lebih ramai orang dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang mencemarkan alam.
- Makanan: Memastikan makanan sihat seperti sayur-sayuran organik mudah didapati pada harga berpatutan.
- Pembuangan sisa: Menggalakkan kitar semula dengan menyediakan sistem pengumpulan sisa yang lebih mudah dan berkesan.
Segala perubahan dasar polisi yang berkaitan peralihan ke arah gaya hidup lestari perlu dilaksanakan dengan adil supaya setiap individu, tanpa mengira status ekonomi atau lokasi, dapat menikmati faedahnya tanpa menanggung beban yang berlebihan. Ia bukan sahaja penting untuk kesejahteraan alam sekitar tetapi juga untuk memastikan keseimbangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.
Oleh itu, FOMCA menyeru pengguna untuk memainkan peranan lebih aktif dalam mengamalkan gaya hidup lestari melalui pemilihan makanan, cara pergerakan, penggunaan tenaga, serta pemilihan produk dan perkhidmatan yang lebih mesra alam.
PROF EMERITUS DATUK DR. MARIMUTHU NADASON
Presiden