KUALA LUMPUR: Persatuan pengguna menyokong langkah kerajaan membangunkan sistem penjejakan elektronik dikenali Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), bagi memantau 'pergerakan' dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat peruncit.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) serta Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA) berpandangan pengenalan sistem seperti itu berupaya berfungsi untuk menjalankan pemantauan dan penjejakan dengan lebih telus, sekali gus dapat menjamin barang keperluan yang diberi subsidi oleh kerajaan sampai kepada golongan sasar.
Ketua Pegawai Operasi FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin, berharap eCOSS membolehkan pihak penguatkuasa memastikan kualiti barang kawalan yang diberikan subsidi tidak terjejas di sepanjang rantaian pengedaran.
"Sistem eCOSS ini bagus kerana berpotensi untuk mengurangkan ketirisan minyak masa subsidi. Setiap pengedaran barang keperluan ini boleh dijejaki dan mengesahkan sejarah, lokasi atau proses di sepanjang rantaian bekalan itu dari pengeluar sehingga peringkat pengguna.
"Kaedah penjejakan ini juga sangat berguna dalam kawalan kualiti, pematuhan, keselamatan dan lebih telus.
"Melalui kaedah penjejakan, ia turut membolehkan pihak penguatkuasa memastikan minyak masak subsidi yang diedarkan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan dan dapat dikesan dengan cepat jika ada masalah kualiti, pencemaran serta penyelewengan.
"Dengan adanya kaedah penjejakan seperti ini, ia sudah pasti akan memudahkan semua agensi kerajaan yang terlibat untuk sama-sama memantau minyak masak subsidi termasuk keselamatan makanan produk tersebut," katanya kepada BH hari ini.
Presiden MACFEA, Dr Ahmad Hariza Hashim, pula berpandangan sistem eCOSS diharapkan boleh berfungsi untuk membendung pihak sama ada di peringkat pemborong atau peruncit yang dikesan menyeleweng bekalan minyak masak subsidi.
Di pihak pengguna, beliau juga berharap agar sistem berkenaan dapat memantau kumpulan itu bagi mengelak mereka tidak membeli minyak masak subsidi melebihi had ditetapkan atau membeli bagi pihak orang lain terutama warga asing.
"Sistem eCOSS dibangunkan untuk mengesan 'perjalanan' minyak masak paket daripada pembungkus kepada pemborong dan peruncit, sekali gus memastikan jualan hanya kepada kumpulan sasar.
"Ia adalah satu langkah yang baik kerana melibatkan pengesanan. Maksudnya, bila aduan diterima yang menyatakan minyak masak paket tidak ada di pasaran, tetapi bila semakan jumlah edaran dibuat di kawasan tersebut sepatutnya mencukupi.
"Maka sistem ini boleh mengesan sama ada pemborong atau peruncit sorok barang keperluan ini atau kalua dijual ia diberi oleh siapa.
"Yang jelas adalah sistem ini membantu menghalang pemborong dan peruncit menyorok barang ini atau tukar minyak masak paket ini ke dalam botol, dan dijual pada pada Harga pasaran," katanya.
Pada sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, memaklumkan projek rintis sistem eCOSS dijangka dilaksanakan tahun ini, bagi mengawal penjualan minyak masak subsidi di peringkat peruncitan.
Menurut Fuziah, sistem elektronik itu dibangunkan kerana ketika ini belum ada sistem untuk mengesan jualan kepada pengguna di pihak peruncit.
Menerusi sistem itu, Fuziah berkenaan kemungkinan pengguna perlu mengimbas kod QR atau akan kaedah lain bagi memastikan warga asing tidak boleh membeli minyak masak subsidi.