Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2025
rampas minyakPETALING JAYA: Kerajaan komited memastikan barangan terkawal seperti minyak masak peket bersubsidi hanya dinikmati golongan layak, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Sehubungan itu, Fuziah berkata Putrajaya kini giat merangka mekanisme khas penyaluran subsidi termasuk kaedah pembelian untuk golongan sasar bagi mengelakkan ketirisan sehingga ada warga asing serta peniaga dapat membelinya.

“Memang secara prinsip subsidi dalam bentuk minyak masak peket hanya boleh dinikmati rakyat Malaysia bukan warga asing selain kegunaan domestik bukan untuk premis perniagaan.

“Dari segi mekanisme (penyaluran subsidi termasuk pembelian minyak masak peket), belum tuntas (muktamad),” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya kerajaan memperkenalkan segera mekanisme penyaluran subsidi minyak masak peket termasuk kaedah pembelian untuk golongan sasar bagi mengelakkan ketirisan.

Berdasarkan laporan media, kerajaan pernah mempertimbangkan menyediakan sistem kad pengenalan khas bagi pembelian barang bersubsidi itu selain ada cadangan supaya ia dimansuhkan dan digantikan bantuan kewangan.

Bendahari Agung Fomca Nur Asyikin Aminuddin dilapor berkata berdasarkan laporan media, ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 dilihat semakin meruncing.

Pada 9 Jan lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis di Batu Kurau, Taiping, yang didapati menjual minyak masak peket 1kg hanya kepada pelanggan tertentu.

Di Pahang pula, KPDN menemui 112 kg minyak masak peket dalam serbuan di sebuah restoran didakwa menggunakan barang bersubsidi itu untuk menjalankan perniagaan.