BERA 12 Dis. - Rakyat diminta menanam sendiri sayur-sayuran sebagai cara menjimatkan perbelanjaan dapur sekali gus mengurangkan kesan kenaikan harga barangan itu di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menjimatkan perbelanjaan dapur, ia secara tidak langsung dapat menurunkan harga barangan tersebut di pasaran apabila permintaan terhadapnya berkurangan.

''Melalui Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) yang dijalankan sejak tiga tahun lalu dapat membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan harian.


''Jika semua rakyat menyahut kempen FOMCA itu ia bukan sahaja menjimat perbelanjaan harian tetapi boleh membantu kerajaan mengurangkan import sayur-sayuran yang mencecah bilion ringgit," katanya kepada pemberita selepas merasmi kempen tersebut di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.

Beliau berkata, sayur-sayuran bukan sahaja boleh ditanam di atas tanah sekitar rumah malah ia boleh dilakukan di kawasan terhad dengan mengguna pasu dan beg plastik di rumah termasuk rumah pangsa.

Sebagai contoh katanya, kempen itu seperti dianjurkan oleh Felda melalui program laman dapur beberapa tahun lalu telah berjaya menurunkan harga sayuran-sayuran.

"Saya berharap kempen tanam sendiri FOMCA ini akan menggalakkan penguna menanam lebih banyak sayur-sayuran dikawasan perumahan bagi kegunaan sendiri," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera mahukan kempen yang dijalankan oleh FOMCA dapat dijalankan sepanjang masa bagi menggalakkan orang ramai dan penguna mengusahakan tanaman sendiri.

Kempen yang bermula sejak tiga tahun lalu itu katanya, berjaya menggalakkan 65 peratus penguna menanam sayur di kawasan rumah.

Tambahnya, 35 peratus lagi disebabkan ketiadaan masa kerana jadual bekerja yang terlalu ketat.