Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan Melalui Kwsp PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 02:46

Bagi membantu anda mengurangkan bebanan membayar ansuran pinjaman perumahan, KWSP telah memperkenalkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan. Pengeluaran ini membenarkan anda mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 untuk membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan di mana bayaran dibuat terus ke akaun peribadi bank anda setiap bulan.

Siapa boleh memohon pengeluaran ini?
Di bawah pengeluaran ini, ahli yang belum mencapai umur 55 tahun dengan baki simpanan minimum sebanyak RM600 dalam Akaun 2 boleh mengeluarkan simpanan untuk membuat bayaran bulanan pinjaman perumahan mereka.

Apakah syarat-syarat pengeluaran ini?
Syarat-syarat pengeluaran ini adalah seperti berikut:

  • Ahli mesti seorang pembeli atau pembina dan peminjam  serta pemilik ke atas sebuah rumah kediaman atau rumah kedai dengan unit kediaman.
  • Ahli masih mempunyai baki pinjaman perumahan daripada institusi kewangan yang diiktiraf.
  • Rumah tersebut telah dicagarkan dan pinjaman telah dikeluarkan sepenuhnya (full disbursement) oleh pemberi pinjaman atau sekurang-kurangnya 95% daripada jumlah pinjaman telah dilepaskan dengan rumah tersebut telah dicagarkan kepada pemberi pinjaman.
  • Pengeluaran boleh dibuat untuk mana-mana rumah di Malaysia tertakluk kepada sebuah rumah bagi setiap ahli.  Pengeluaran seterusnya sekiranya masih ada baki  pinjaman, hanya boleh dibuat untuk rumah yang sama.

Bagaimana memohon pengeluaran ini?
Untuk permohonan kali pertama, anda diperlukan mengisi Borang KWSP 9P(AHL) serta mengemukakan dokumen sokongan asal dan salinan yang disahkan iaitu Kad Pengenalan,  buku/penyata akaun bank yang masih aktif, surat pengesahan baki pinjaman, Surat Perjanjian Jual Beli/Bina Rumah, surat kelulusan pinjaman dan Borang Gadaian dan Suratan Hakmilik atau Surat Ikatan Serahhak.

Bagaimana dengan permohonan pengeluaran seterusnya?
Untuk pengeluaran seterusnya, anda hanya perlu melengkapkan Borang KWSP 9P (AHL) dan mengemukakannya bersama surat pengesahan baki pinjaman perumahan terkini serta dokumen asal dan salinan Kad Pengenalan serta buku/penyata akaun bank yang masih aktif.

Berapakah jumlah minimum dan maksimum yang boleh dikeluarkan?
Jumlah minimum pengeluaran bulanan ialah RM100 untuk tempoh tidak kurang dari enam bulan. Manakala amaun maksimum bayaran bulanan tidak melebihi jumlah ansuran bulanan dan tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 2.

Bolehkah saya memohon pengeluaran ini jika saya mempunyai pinjaman perumahan tertunggak?
Ya, ahli yang mempunyai hutang tertunggak (NPL) dibenarkan memohon pengeluaran ini. Bagaimanapun, bayaran bulanan akan dibuat menerusi cek jurubank di atas nama institusi pemberi Pinjaman sehingga tunggakan di selesaikan.


Bolehkah saya memohon pengeluaran pra-persaraan lain dari Akaun 2 saya?
Simpanan dalam Akaun 2 yang telah diperuntukkan bagi pengeluaran ini tidak boleh digunakan untuk pengeluaran lain. Bagaimanapun, baki amaun dalam Akaun 2 masih boleh digunakan bagi memohon pengeluaran pra-persaraan lain seperti pendidikan, kesihatan dan umur 50 tahun.


Bagaimana saya boleh membatalkan pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan?
Anda boleh membatalkan permohonan bayaran bulanan setelah satu tahun dari tarikh pengeluaran dengan mengisi Borang Pembatalan Pengeluaran.


Bolehkah saya memohon pengeluaran baru selepas pembatalan ini?
Anda boleh memohon pengeluaran baru untuk menstruktur amaun atau tempoh masa bayaran bulanan mengikut baki di dalam Akaun 2 dengan syarat ia tidak melebihi baki pinjaman perumahan.


Apa akan terjadi kepada bayaran pengeluaran bulanan jika pengeluaran penuh seperti Pengeluaran Hilang Upaya, Kematian dan Meninggalkan Negara dibuat?

Bayaran pengeluaran bulanan akan dihentikan dengan serta-merta jika anda membuat pengeluaran penuh tersebut.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai  pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan sila lawati pejabat KWSP terdekat, hubungi pusat panggilan KWSP di 03-8922 6000, atau layari www.kwsp.gov.my
Sumber: KWSP

Last Updated on Tuesday, 19 July 2011 03:10